HADIS QUDSI Dari Abu
Hurairah r.a
Rasulullah saw bersabda, “Manusia yang awal-awal akan diadili pada
hari kiamat adalah seorang lelaki yang telah mati syahid. Lalu lelaki itu
dibawa ke muka pengadilan. Allah SWT telah memperingatkan kepadanya segala
nikmat yang telah dikurniakan-Nya kepadanya, lantaran itu, lelaki itupun
mengakui akan segala nikmat kurniaan Allah SWT tersebut.
Allah SWT
bertanya kepadanya (sedangkan Dia Maha Mengetahui): ‘Maka apakah yang telah kau
lakukan dengan nikmat-nikmat itu?’ Lelaki itupun menjawab: ‘Aku berperang kerana-Mu
sehinggalah aku mati syahid.’
Allah SWT berfirman: ‘Kamu berdusta. Akan tetapi kamu berperang supaya kamu
dipanggil seorang yang berani. Oleh yang demikian, sesungguhnya kamu telah
telahpun dipanggil sedemikian.’ Kemudian Allah SWT memerintahkan agar lelaki
itu dicampakkan ke dalam api neraka, lalu beliaupun ditarik dengan mukanya ke
bawah hinggalah dicampakkan ke dalam api neraka.
Dan seorang lelaki yang
mempelajari ilmu (agama) dan mengajarkannya. Beliau juga membaca Al-Quran
(ataupun seorang yang mahir dalam pembacaan Al-Quran). Lelaki itupun dibawa
menghadap Allah SWT.
Allah SWT
memperingatkan segala nikmat yang diberikan kepadanya. Lelaki itu mengakui akan
penerimaan semua nikmat tersebut. Allah SWT berfirman kepadanya : ‘Oleh itu,
apakah yang telah kamu lakukan dengannya?’ Lelaki itupun menjawab : ‘Aku telah
mempelajari ilmu dan mengajarkannya (kepada orang lain). Aku telah membaca
Al-Quran semata-mata kerana-Mu.’
Allah SWT berfirman kepadanya : ‘Kamu
berdusta. Akan tetapi kamu telah mempelajari ilmu supaya kamu dipanggil sebagai
seorang alim dan kamu telah membaca Al-Quran supaya dipanggil seorang qari.
Sesungguhnya kamu telahpun dipanggil sedemikian.
Kemudian Allah SWT telah memerintahkan kepada malaikat agar lelaki itu dibawa
pergi dan diheret dengan mukanya ke bawah hinggalah beliau dicampakkan ke dalam
api neraka. Begitu juga seorang lelaki yang telah diperluaskan oleh
Allah SWT untuknya segala jenis harta kesemuanya. Lelaki itu pun dihadapkan ke
muka. Allah SWT memperingatkan segala nikmat yang telah dikurniakan-Nya kepada
lelaki tersebut lalu lelaki itu mengakuinya.
Allah berfirman kepada lelaki itu : ‘Maka apakah yang telah kamu lakukan dengan
kesemua harta itu?’ Lelaki itu menjawab : ‘Tidaklah aku tinggalkan walaupun
satu jalan yang disukai agar dibelanjakan harta untuknya melainkan aku telah
membelanjakan hartaku semata-mata kerana-Mu.’
Allah
berfirman : ‘Kamu berdusta. Akan tetapi kamu telah melakukan semua itu agar
kamu dipanggil seorang dermawan. Sesungguhnya kamu telahpun dipanggil
sedemikian. Kemudian diperintahkan agar lelaki itu dibawa pergi lalu beliau
ditarik dengan mukanya ke bawah dan kemudian dicampakkan ke dalam api
neraka.”
(Sahih Muslim Ahmad
An-Nasa’i dan Al-Hakim)
No comments:
Post a Comment