Assalamualaikum..
Berbicara perihal cinta, manusia
tidak akan lari dari rasa gembira. Fitrah ! Allah jadikan manusia punya rasa
untuk dicintai dan mencintai. Inilah antara nikmat terindah buat manusia yang
punya rasa untuk mencinta. Begitu sunyi dan sepi hidup seorang hamba yang tiada
di hatinya perasaan untuk mencintai orang lain.
Namun anugerah dan nikmat yang
Allah kurniakan buat kita dalam mencintai manusia lain selain diri sudah
dianggap serong oleh sesetengah pihak. Mungkin bahasa ini sukar difahami. Mungkin
! namun ramai di antara kita yang tidak sebetulnya memanfaatkan nikmat itu
untuk kebaikan diri mereka sendiri. Sebaliknya, mereka sanggup melakukan apa
sahaja demi cinta yang dianggapnya sejati. Mengorbankan kemuliaan diri malah
sanggup membuang jauh keluarga adalah perkara normal yang terjadi pada abad
ini. Adakah perihal cinta sebegitu besar impaknya dalam hidup manusia sehingga
sanggup mengorbankan manfaat masa depan yang lebih berguna.
Kenapa isu ini yang dipilih untuk
dibincang di laman ini sedangkan diri s agak kaku dan tidak
berperasaan apabila diungkap perihal cinta. Jawapannya adalah apabila
melihat terlalu ramai adik adik, sahabat sahabat, dan mereka diluar sana yang terlalu
mengagungkan cinta sebagai yang utama dan pertama.
Bukan perkara pelik bila
memerhati status status yang diupdate melafazkan kesunyian serta kesedihan
akibat putus cinta atau kecewa dalam perhubungan. Dan bukan juga perkara aneh
bila menjadi saksi dua hati melafazkan rasa cinta tanpa rasa malu dan segan di
khalayak ramai. Hakikatnya perkara ini terjadi apabila manusia kesunyian dan
ingin mendapatkan perhatian daripda pihak lain dan mengabaikan seluruh
perhatian yang Allah sentiasa berikan terhadap diri tanpa sedar.
Persoalannya, kenapa mengagungkan cinta?
Persoalannya, kenapa mengagungkan cinta?
Tambahan yang menyesakkan dada
apabila melihat golongan ustaz/ustazah atau golongan bertudung labuh dan
berkopiah yang juga berperilaku sedemikian. Maaf atas ayat di atas. Maka apabila diri menyaksikan mereka juga
demikian rupanya, maka timbul dalam diri. Di mana silap dan salahnya. Bukan sedikit
kita yang mengarang warkah cinta buat bakal imamku atau buat bakal makmunku. Malah
bukan ringkas juga warkah yang ditulis. Diri berfikir, apakah itu medan yang
sebenar dalam mendefinisikan cinta. Untuk siapa warkah itu ditulis dan untuk
dimengertikan tentang apa. Tanggungjawab selepas berkahwin? Atau tugas untuk
mencintai antara satu sama lain? Atau menerangkan diri yang soleh tidak layak
untukmu si solehah? Matlamatnya apa. Sungguh sesak fenomena yang melanda. Wahai! Apa jiwa
kita juga kosong sepertimana mereka yang lainnya.
Sebelum lebih jauh kita memahami
cinta, faham dahulu erti cinta. Bagi diri, cinta akan membawa kita hanya ke
syurga. Dan apabila apa-apa yang membawa ke neraka, itu bukan cinta malah
malapetaka. Dan sekiranya hidup kita diluangkan untuk bersama si dia sebelum
akad yang menghalalkan perhubungan, maka apakah itu dinamakan membawa ke
syurga. Sekiranya kita menghabiskan masa keluar berdating, bercinta, bersms dan
lain lainnya, maka adakah matlamat kita juga syurga.
Pertama, faham matlamat kita
adalah ke syurga. Maka perbuatan kita hanya menjuruskan ke arah itu. Bila matlamat
ke syurga, ianya hanya Allah. Melakukan perbuatan yang diredhai Allah maka itu
merupakan pelaksanaan untuk kita ke syurga. Meninggalkan maksiat mata, hati dan
zina adalah salah satu daripada perkara yang diredhai Allah. Kita tinggalkan
kerana tahu Allah benci maksiat. Malah lebih pentingnya, mendahulukan Allah
dalam apa jua perkara yang kita lakukan.
Pentingnya, tidak perlu untuk
kita terlalu berisyarat atau memberi hint atau kias kias manja atau apa sahaja
sekiranya yakin itu akan membawa fitnah dan memudaratkan diri. Yang merancang
itu Allah. Perancangan DIA adalah yang paling tidak di jangka dalam hidup kita.
DIA tahu apa yang terbaik dan biar DIA yang mengaturkan arah dan langkah diri
kita dalam mencari cinta. Fahami langkah yang betul dan berjalanlah dalam
mencari si dia yang dicintai juga semata kerana Allah. Bukanlah kita dilarang
untuk mencari pasangan namun supaya kita dilihat tidak berlebih lebih dengan
tidak mengutamakan Allah dalam proses pencarian itu. Untuk membina rumah tangga
[baitul muslim] adalah wajib untuk kita membentuk peribadi diri soleh dan
solehah [ individu muslim] kerana matlamat kita mahu melihat seluruh dunia
dikuasai individu individu yang hebat peribadi muslimnya.
Apakah tindakan kita membantu
untuk membentuk dunia islam yang berdaulat [ ustaziatul alam] suatu hari
nanti. Maka muliakanlah cinta dan letakkanlah ia ditempat yang sepatutnya. Bersabarlah
sekiranya masa itu belum tiba dan bukannya mengambil keputusan meluahkannya di
mana mana. Allah tahu maka mengadulah. Sekiranya tidak dibukakan jalan untuk
bersama dengan si dia secara halal, maka pohonlah dari NYA untuk dipermudahkan
jalan. Sekiranya jauh lagi masa yang diimpikan untuk bernikah, maka jauhkan
diri daripada MEMBUAT JANJI dengan si dia supaya kelak apa sahaja yang berlaku,
tidaklah ada perasaan dendam dan sebagainya sekiranya kecundang di tengah jalan.
Dan sekiranya sudah dibukakan jalan ke arah itu maka berdoalah supaya Allah
sentiasa memelihara cinta kita supaya sentiasa mendapat redha NYA dan membawa
kita ke syurga.
Semoga mata mata yang membaca
dilembutkan hatinya dan menerima cinta Allah yang lebih utama untuk membawa
kita ke syurga. Dan semoga setiap dari kita menemui si dia yang dihadiahkan Allah
untuk sama sama berpimpin tangan ke syurga dengan mengikuti syariat dan panduan yang
digariskan dalam Islam. Allah berahsia tentang dia kepunyaan kita bersebab maka
binalah peribadi muslim dengan bersungguh sungguh dahulu. Masa itu akan tiba
juga namun akhirat itu yang lebih utama. Nikah dan kahwin boleh dirancang namun
mati itu bila bila masa sahaja. Maka sedarlah dan janganlah lagi kita leka
dengan cinta dunia yang maha memabukkan sekiranya tidak dipandu dengan syariat
Islam.
wassalam.
No comments:
Post a Comment