Pendidikan adalah salah satu
metodologi yang sangat berkaitan dengan psikologi, emosi dan keyakinan.
Guru terbaik sepanjang zaman tentu saja Nabi Muhammad S.A.W dan pasti saja kita
tidak akan ketemu contoh lain sehebat baginda. Baginda yang sabar, tidak mengeluh,
ikhlas dalam menyampaikan dan disayangi semua umat manusia.
Guru. Satu nama yang indah. Kita kenang sampai akhir hayat
kita. Lihat mereka dan kita akan renung diri kita. Besarnya pahala seorang
guru, inilah pekerjaan yang mana hitungannya akan dikira di dunia dan di sana.
Daripada
Abu Umamah al-Bahili, Rasulullah s.a.w. bersabda: "Sesunggunya Allah,
malaikat dan ahli (penduduk) langit bumi ; hinggakan semut di dalam lubang dan
juga ikan paus (meliputi seluruh haiwan di darat dan di laut) mendoakan
kebaikan ke atas orang yang mengajar perkara yang baik kepada manusia".
(Riwayat
al-Tirmizi)
Mengapa guru jadi bahan kajian hari ini ?
Kerana pengalaman hidup membawa saya mengenali banyak jenis
watak guru yang harus saya hadapi. Mereka, tabah dan sabar melayan persoalan
anak didik yang masih buntu mencari penyelesaian. Mereka, sanggup berkorban
masa dan wang untuk anak didiknya. Mereka, melayan anak didik ibarat anak
sendiri dan ada mereka itu, anak didik tempat melepaskan baran. Mereka itu,
anak didik jadi sasaran penderaan perasaan. Alhamdulillah, mereka-mereka itu adalah
guru yang insya Allah akan saya sayang dan akan saya buktikan di sana nanti,
bahawa mereka telah menyampaikan ilmu yang berguna kepada manusia.
Guru paling senang masuk syurga namun bimbang jika ia juga
paling senang untuk masuk neraka - Prof
Muhaya Ikim f.m
Kenapa neraka?
Prof muhaya sebut bahawasanya seorang guru yang berjaya
menjatuhkan tahap confident level seorang pelajar dan besar kemungkinan pelajar
itu akan bawa perasaan itu sehingga mereka dewasa, bimbang effectnya akan
terkena kepada guru itu.
(Luqman
berkata): “Hai anakku, sesungguhnya jika ada (sesuatu perbuatan) seberat biji
sawi, dan berada dalam batu atau di langit atau di dalam bumi, niscaya Allah
akan mendatangkannya (membalasinya). Sesungguhnya Allah Maha Halus lagi Maha
Mengetahui (SURAH LUQMAN 16)
Islam yang indah ini membenarkan teguran. Teguran yang
membina.
Guru yang bagaimana?
Menurut kata prof Muhaya, guru yang sentiasa
merendah-rendahkan kebolehan pelajar. Mereka yang selalu menengking pelajar.
Guru yang tidak menjaga sahsiah mereka. Guru yang tidak hormat pelajar. Guru
yang sentiasa rasa geram pada pelajar tanpa sebab.
Memang guru rasa penat, berkorban itu ini. Namun ingat, bila
kita bantu anak orang, Allah akan tolong anak kita. Pernah kan kita terfikir,
ada guru yang dia sendiri tak hormat anak murid dan bagaimana guru ini
mengharapkan anak murid untuk menghormatinya.
Siapa guru yang kita sayang?
Adakah guru yang pandai atau guru yang paling baik dengan
kita, atau guru yang sentiasa senyum. Akal membuat kita pandai, dan wahyu
membuat kita baik. Baik dasarnya hati dan hati itulah raja segala perasaan.
Seorang guru yang baik dia telah melihat kerjaya sebagai guru
adalah sebagai ladang-ladang pahala untuk dia beramal. Dia melihat seorang anak
murid, dia sedar, itu adalah benih-benih untuk dia menyubur pahala. Dan niat
bukan untuk manusia tetapi niat adalah hubungan manusia dengan Allah.
Siapa kita untuk menolak hak istimewa seorang guru. Sedangkan
jika kita mahu mengambil ujian sekalipun, doa mereka yang kita harapkan. Kita
pohon mereka halalkan ilmu itu.
Bagaimana dengan guru yang jadi bahan kutukan, cercaan dan
herdikan ibu bapa?
Puncanya anak mereka dimarahi. Puncanya anak mereka dirotan.
Masya Allah.
Guru itu bukan orang gaji kita. Malah orang gaji kita sendiri
kita tak herdik sebegitu rupa. Ibu bapa harus ingat satu perkara. Bila kita
marah guru kepada anak kita, ia akan menyebabkan si guru tawar hati. Hilang
satu keberkatan sudah tentu. Guru yang
tidak gembira, tidak akan dapat menggembirakan pelajar mereka. Sama seperti
orang yang tidak bahagia tidak dapat membahagiakan orang lain. Masalah ibu bapa
zaman ini terlalu nyata. merajakan anak sedangkan anak dihantar ke sekolah
untuk di didik menjadi insan berguna. Orang yang minda kecil, masalah dia
besar. Inilah masalah ibu bapa abad 21 ini. Di mana pun kita berada, jika kita
bagus. Kita akan tetap bagus.
Guru yang baik adalah guru yang mampu menjadi murabbi yang
hebat. Moga Allah kurniakan kita dengan
kesabaran. Dunia hari ini bukan lagi seperti dulu. Dunia ini penuh dengan
cabaran. Moga anda yang bergelar guru mampu menjadikan dunia ini aman kembali dan
menyejukkan dunia ini dengan kasih sayang.