Tuesday, 15 January 2013

Hidup dan Kesungguhan



Assalamualaikum..

Kita hidup bukan semata-mata untuk hidup. Bukan semata-mata untuk berkahwin. Bukan semata-mata untuk berbahagia dan berkasih sayang. Kita hidup kerana Allah tentukan perjalanan mengutip pengalaman pahit manis mencari redhanya itu lebih manis. Dan perkahwinan hanya salah satu proses meniti kehidupan.  Bercinta juga bukan fasa utama kehidupan tetapi mencintai orang lain akan menjadikan kehidupan ini lebih baik dan bermakna. Jangan jadikan Islam semata-mata untuk cinta dan perkahwinan. 

Indah bukan jika kita mempersembahkan kehidupan ini dengan kesungguhan mencari redha Allah. Bersungguh-sungguh meninggalkan maksiat. Bersungguh-sungguh merebut peluang kebaikan. Allah memandang setiap usaha itu. Bukan bermakna tidak berakhir dengan sesuatu yang positif bermakna kita telah gagal namun itu hanya sekadar ujian Allah untuk memberi peringatan yang jalan menuju kebaikan ini hanyalah bagi orang yang benar-benar berusaha dan optimis akan ada bahagia di hujungnya.

Dosa itu bukan sesuatu yang aneh. Kita manusia, iman yang sentiasa akan naik dan turun . kita bukan malaikat bukan jua para nabi. Dan dunia yang sedang kita berpijak ini, bukan semua orang buat baik dan bukan semua orang suka untuk buat baik. Kita bertaubat dan kembali jatuh bergelumang dosa. Bangkit lagi memohon doa Allah untuk diampuni kemudian jatuh lagi. Sehingga hati berdetik adakah aku dilahirkan untuk berbuat dosa. Maka mula rasa putus asa menjelma sedangkan alangkah indahnya kesungguhan yang dipamerkan untuk tatapan Allah yang merindui lafaz taubat kita.

Bukankah indah jika kita tidak berhenti. Itulah hidup kita. Untuk mempersembahkan kesungguhan mencari rahmat Allah. Allah bukan zalim. Dia Maha Penyayang. Jika kita mahu menguji mana letaknya cinta Allah untuk kita, cuba kaji dan lihat mana duduknya cinta Allah di hati kita. Dia memandang usaha. Dia memandang kesungguhan.

Rasa penyesalan untuk bertaubat sebenarnya satu anugerah daripada Allah. Beruntunglah kita menjadi orang yang diseru untuk kembali. Ada manusia lain, rasa nak bertaubat pun tiada. Mari kita persembahkan yang terbaik untuk Allah. Segala usaha, doa, cara, harapan dan tawakal. Mari lakukan segalanya untuk Allah.  Selamat menyebarkan kebaikan dan mawaddah  ^^

currently I'm keeping an eye on one person, but I'm not a nutty as a fruitcake. saranghae.

No comments: