Showing posts with label Dakwah. Show all posts
Showing posts with label Dakwah. Show all posts

Thursday 11 October 2012

Akibat tidak Ikhlas


HADIS QUDSI Dari Abu Hurairah r.a

 Rasulullah saw bersabda, “Manusia yang awal-awal akan diadili pada hari kiamat adalah seorang lelaki yang telah mati syahid. Lalu lelaki itu dibawa ke muka pengadilan. Allah SWT telah memperingatkan kepadanya segala nikmat yang telah dikurniakan-Nya kepadanya, lantaran itu, lelaki itupun mengakui akan segala nikmat kurniaan Allah SWT tersebut.

Allah SWT bertanya kepadanya (sedangkan Dia Maha Mengetahui): ‘Maka apakah yang telah kau lakukan dengan nikmat-nikmat itu?’ Lelaki itupun menjawab: ‘Aku berperang kerana-Mu sehinggalah aku mati syahid.’

Allah SWT berfirman: ‘Kamu berdusta. Akan tetapi kamu berperang supaya kamu dipanggil seorang yang berani. Oleh yang demikian, sesungguhnya kamu telah telahpun dipanggil sedemikian.’ Kemudian Allah SWT memerintahkan agar lelaki itu dicampakkan ke dalam api neraka, lalu beliaupun ditarik dengan mukanya ke bawah hinggalah dicampakkan ke dalam api neraka. 

Dan seorang lelaki yang mempelajari ilmu (agama) dan mengajarkannya. Beliau juga membaca Al-Quran (ataupun seorang yang mahir dalam pembacaan Al-Quran). Lelaki itupun dibawa menghadap Allah SWT.

Allah SWT memperingatkan segala nikmat yang diberikan kepadanya. Lelaki itu mengakui akan penerimaan semua nikmat tersebut. Allah SWT berfirman kepadanya : ‘Oleh itu, apakah yang telah kamu lakukan dengannya?’ Lelaki itupun menjawab : ‘Aku telah mempelajari ilmu dan mengajarkannya (kepada orang lain). Aku telah membaca Al-Quran semata-mata kerana-Mu.’ 

Allah SWT berfirman kepadanya : ‘Kamu berdusta. Akan tetapi kamu telah mempelajari ilmu supaya kamu dipanggil sebagai seorang alim dan kamu telah membaca Al-Quran supaya dipanggil seorang qari. Sesungguhnya kamu telahpun dipanggil sedemikian.

Kemudian Allah SWT telah memerintahkan kepada malaikat agar lelaki itu dibawa pergi dan diheret dengan mukanya ke bawah hinggalah beliau dicampakkan ke dalam api neraka.   Begitu juga seorang lelaki yang telah diperluaskan oleh Allah SWT untuknya segala jenis harta kesemuanya. Lelaki itu pun dihadapkan ke muka. Allah SWT memperingatkan segala nikmat yang telah dikurniakan-Nya kepada lelaki tersebut lalu lelaki itu mengakuinya. 

Allah berfirman kepada lelaki itu : ‘Maka apakah yang telah kamu lakukan dengan kesemua harta itu?’ Lelaki itu menjawab : ‘Tidaklah aku tinggalkan walaupun satu jalan yang disukai agar dibelanjakan harta untuknya melainkan aku telah membelanjakan hartaku semata-mata kerana-Mu.’  

Allah berfirman : ‘Kamu berdusta. Akan tetapi kamu telah melakukan semua itu agar kamu dipanggil seorang dermawan. Sesungguhnya kamu telahpun dipanggil sedemikian. Kemudian diperintahkan agar lelaki itu dibawa pergi lalu beliau ditarik dengan mukanya ke bawah dan kemudian dicampakkan ke dalam api neraka.”  

(Sahih Muslim Ahmad An-Nasa’i dan Al-Hakim)


currently I'm keeping an eye on one person, but I'm not a nutty as a fruitcake. saranghae.

Tuesday 14 August 2012

Siti Khadijah serikandi Islam


Anas berkata “ Jibrail datang menemui Rasullulah. Ketika itu Khadijah berada disisinya. Beliau berkata kepada Khadijah, “Allah mengucapkan salam kedamaian kepada Khadijah.” Maka Khadijah menjawab, “Sesungguhnya Allah adalah kedamaian. Semoga kedamaian, rahmat, dan berkatnya tercurah ke atas Jibrail serta keatasmu.”

SIAPA SITI KHADIJAH?

Beliau dilahirkan pada 15 tahun sebelum tahun gajah. Keturunan yang baik, mulia dan berkedudukan tinggi. Bapanya  Khuwailid bin Asad bin Abd al-uzza, saudara Abdul Manaf. Ibunya Fatimah binti Zaidah. Nenek Khadijah bernama Halah binti Abdul Manaf. Abdul Manaf adalah datuk ketiga kepada Nabi Muhammad. Salasiah Khadijah bertemu dgn salasiah Nabi Muhammad sebelah moyangnya, Qushai bin Kilab.  Wanita mulia ini berkahwin dgn Rasulullah ketika usianya 40 tahun.  Dialah Ummul Mukminin, pendamping pertama Rasulullah, duta muslimah pertama, sahabat wanita pertama dan kekasih yang utama. Subhanallah, pena ini diangkat kerna mengagumi kecintaannya terhadap kekasih agung, kerna merindui inspirasi iman dan ketabahannya. Duhai At-thahirah, sungguh aku mengasihimu. 

Engkau pilihan Allah untuk mendampingi manusia paling agung. Allah memilihmu untuk menjadi isteri, ratu hati, pendokong, penasihat, serta pendamping utama Rasulullah. Engkau satu-satunya yang hadir menyaksikan waktu  wahyu pertama diturunkan. Kala nabi diangkat menjadi rasul dan pada awal turunnya al-Quran, tetap kau yang ada di situ.  Ramai yang sudah arif akan kisah pernikahannya dengan Rasulullah S.A.W.  Sebelum berkahwin dengan Nabi Muhammad, Siti Khadijah berkahwin dengan Abu Halah bin Zararah bin Nabasy at-Tamimi. Abu Halah meninggal dunia dgn mewariskan harta yang banyak.  Masa berselang, beliau bernikah pula dgn Atiq bin Aidz al-Makhzumi. Namun Atiq juga dijemput Allah selepas itu. Ramai yang melamar wanita mulia ini selepas kematian suaminya, namun Khadijah menolaknya. Rupanya, Allah sedang mengaturkan pernikahan yang paling agung bersama insan mulia pesuruh Allah. 

Khadijah hidup dalam pelukan kedamaian di sisi Nabi Muhammad sebelum turunnya wahyu. Apabila bermula zaman kenabian Nabi Muhammad, beliau turut sama memikul beban penderitaan dalam menempuh jalan dakwah. Kemudian, ada ketikanya Rasulullah suka berkhalwat . Jika insan biasa, sudah tentu dihalang kerana perasaan semulajadi wanita yang tidak ingin berpisah lama dangan si suami tercinta. Namun, Khadijah memang berbeza, dia malah merelakan pemergian suaminya dengan rela hati bahkan beliau yang mendorong Rasulullah supaya berkhalwat untuk mencari kebenaran.
Sungguh, aku makin meminatimu. Engkau yang memiliki kecerdasan, kebesaran jiwa, dan hati yang mulia. Engkau yang menyiapkan keperluan Rasulullah tika baginda beribadah di Gua Hira, engkau yang mendampingi Rasulullah saat baginda dikecam musuh Allah, engkau yang mengorbankan masa dan harta untuk bersama Rasulullah. Sungguh mulia dirimu wahai ummul mukminin.  Engkau ibu kepada putera-puteri Islam. 

“Engkau yang pertama beriman,
Engkau yang pertama percaya,
Engkau yang pertama solat bersama Rasulullah sebelum solat 5 waktu diwajibkan”

Tidak terkira banyaknya bantuan dari Khadijah untuk suami tercinta. Serangan orang-orang Quraisy  yang tidak pernah jemu menganggu dakwah Rasulullah. Khadijah yang menghapuskan segala kesedihan dan kegundahan di hati Rasulullah sehingga baginda menemui ketenangan dalam diri Khadijah.  Lihat bagaimana tabahnya wanita mulia ini ketika terjadinya pemboikotan di kawasan Syib apabila tempat itu dikepung selama 3 tahun, dugaan dalam bentuk kelaparan dan keletihan tetap ditangani dengan sabar walau usia beliau mencapai 60 tahun. 

Wajar kiranya wanita suci ini mendapat penghargaan oleh Allah dan seluruh umat Islam atas kehebatannya menjadi pendorong kepada Nabi Muhammad.  Wajar kiranya jika engkau menduduki tempat di dalam hati ini. Bagaimana mungkin tidak kami letakkan engkau si penghuni syurga di dalam hati kami sedangkan engkau telah melakukan perkara yang terbaik dalam usaha penyebaran Islam. 

PEMERGIAN KHADIJAH

Bonda para Mukmin dan isteri manusia paling agung berangkat pergi menuju ke sisi Tuhannya. Wanita abadi yang mempersembahkan pertolongan dan kasih sayangnya terhadap Islam.  Tahun wafat Khadijah adalah  tahun yang sangat memeritkan dan menyakitkan bagi kekasih agung, kehilangan dua cinta hati, isteri tercinta dan bapa saudara yang dikasihi Abu Talib.  Khadijah binti Khuwailid pergi setelah panji perjuangan diserahkan kepada puteri Islam yang suci dan dihormati, Fatimah Az-Zahra. 

Ya Khadijah, pergimu dianggap tahun berduka bagi Rasulullah
Tetapi Allah menetapkan pemergianmu setelah Allah meneguhkan dakwah suamimu
Engkau wanita terbesar berangkat
Setelah berkongsi kesedihan dan kesulitan yang berat
Hilanglah segala penat yang menyinggah
Hilanglah segala sakit yang menyerang
Engkau wanita terbesar berangkat
Dengan tangis Rasulullah
Kerna engkau yang dicintainya
Beruntungnya dirimu wahai mawar agama
Rasul memilihmu kerana dirimu pilihan Allah
Engkau memberikan Rasulullah saat yang lain tidak mahu memberikan
Engkau menolong Rasulullah saat yang lain meminggirkan
Engkau membenarkan Rasulullah saat yang lain mendustainya
Engkau melimpahkan kasih sayangnya saat yang lain membencinya

Khadijah, perempuan lurus yang dipilih Allah. Kini Khadijah sudah pergi. Malah sejak pemergiannya, ia sudah berabad lamanya. Kita tidak pernah menemuinya, malah  tidak pernah mendengar untaian bicaranya,  jua tidak pernah menatap wajah kasihnya namun kita tahu dalam sejarah Islam pernah hadir seorang wanita pilihan Allah yang paling mulia. Dia dikuburkan di Ma’ala. Khadijah meninggal dunia pada usia 65 tahun, tiga tahun sebelum hijrah, sebelum peristiwa Isra Mikraj, sebelum turunnya perintah solat lima waktu, iaitu pada 11 Ramadhan, selepas Bani Hasyim bebas dari pemulauan kaum Quraisy.
Khadijah meninggal dunia setelah menunaikan tugasnya mendampingi RAsulullah, menyokong, menyelimuti, membenar dan merperteguhkan perjuangan Rasulullah.

Rasulullah berkata yang bermaksud “Allah tidak memberikan pengganti untukku yang lebih baik daripada Khadijah. Dia percaya kepadaku dikala orang lain mengingkariku, dia membenarkan di kala orang lain mendustakanku, dia menyerahkan hartanya kepadaku dikala orang lain menghalangiku dan Allah mengurniakan keturunan melalui rahimnya kala aku tidak dapat daripada perempuan-perempuan lain(isteri-isteriku)

Pena ini diangkat kerna aku mengagumi dan mencintai wanita mulia ini, dan alangkah ruginya jika hanya aku yang merasakan kecintaan ini tanpa menyeru sahabat-sahabatku juga untuk merinduinya.  Sungguh dia insan mulia yang layak dijadikan idola untuk kita duhai muslimah kecintaan Allah. Moga ianya bermanfaat dan Allah meredhai tulisan ini. Jika mahu ditulis riwayat hidup, kisah pengorbanan, dan bakti perjuangannya, sudah tentu penat untuk kita membacanya. tidak rugi untuk membaca sirah Islam. Ianya suatu ketenangan. 

Untuk Dia
Yang sentiasa memberi ilham.
Terima kasih Allah.
24 Ramadhan 1433



currently I'm keeping an eye on one person, but I'm not a nutty as a fruitcake. saranghae.