Anas berkata “ Jibrail datang menemui Rasullulah. Ketika itu
Khadijah berada disisinya. Beliau berkata kepada Khadijah, “Allah mengucapkan
salam kedamaian kepada Khadijah.” Maka Khadijah menjawab, “Sesungguhnya Allah
adalah kedamaian. Semoga kedamaian, rahmat, dan berkatnya tercurah ke atas
Jibrail serta keatasmu.”
SIAPA SITI KHADIJAH?
Beliau dilahirkan pada 15 tahun sebelum tahun gajah. Keturunan
yang baik, mulia dan berkedudukan tinggi. Bapanya Khuwailid bin Asad bin
Abd al-uzza, saudara Abdul Manaf. Ibunya Fatimah binti Zaidah. Nenek Khadijah
bernama Halah binti Abdul Manaf. Abdul Manaf adalah datuk ketiga kepada Nabi
Muhammad. Salasiah Khadijah bertemu dgn salasiah Nabi Muhammad sebelah
moyangnya, Qushai bin Kilab. Wanita mulia ini berkahwin dgn Rasulullah
ketika usianya 40 tahun. Dialah Ummul Mukminin, pendamping pertama
Rasulullah, duta muslimah pertama, sahabat wanita pertama dan kekasih yang
utama. Subhanallah, pena ini diangkat kerna mengagumi kecintaannya terhadap
kekasih agung, kerna merindui inspirasi iman dan ketabahannya. Duhai
At-thahirah, sungguh aku mengasihimu.
Engkau pilihan Allah untuk mendampingi manusia paling agung. Allah
memilihmu untuk menjadi isteri, ratu hati, pendokong, penasihat, serta
pendamping utama Rasulullah. Engkau satu-satunya yang hadir menyaksikan waktu
wahyu pertama diturunkan. Kala nabi diangkat menjadi rasul dan pada awal
turunnya al-Quran, tetap kau yang ada di situ. Ramai yang sudah arif akan
kisah pernikahannya dengan Rasulullah S.A.W. Sebelum berkahwin dengan
Nabi Muhammad, Siti Khadijah berkahwin dengan Abu Halah bin Zararah bin Nabasy
at-Tamimi. Abu Halah meninggal dunia dgn mewariskan harta yang banyak.
Masa berselang, beliau bernikah pula dgn Atiq bin Aidz al-Makhzumi. Namun Atiq
juga dijemput Allah selepas itu. Ramai yang melamar wanita mulia ini selepas
kematian suaminya, namun Khadijah menolaknya. Rupanya, Allah sedang mengaturkan
pernikahan yang paling agung bersama insan mulia pesuruh Allah.
Khadijah hidup dalam pelukan kedamaian di sisi Nabi Muhammad
sebelum turunnya wahyu. Apabila bermula zaman kenabian Nabi Muhammad, beliau
turut sama memikul beban penderitaan dalam menempuh jalan dakwah. Kemudian, ada
ketikanya Rasulullah suka berkhalwat . Jika insan biasa, sudah tentu dihalang
kerana perasaan semulajadi wanita yang tidak ingin berpisah lama dangan si
suami tercinta. Namun, Khadijah memang berbeza, dia malah merelakan pemergian
suaminya dengan rela hati bahkan beliau yang mendorong Rasulullah supaya
berkhalwat untuk mencari kebenaran.
Sungguh, aku makin meminatimu. Engkau yang memiliki kecerdasan,
kebesaran jiwa, dan hati yang mulia. Engkau yang menyiapkan keperluan
Rasulullah tika baginda beribadah di Gua Hira, engkau yang mendampingi
Rasulullah saat baginda dikecam musuh Allah, engkau yang mengorbankan masa dan
harta untuk bersama Rasulullah. Sungguh mulia dirimu wahai ummul
mukminin. Engkau ibu kepada putera-puteri Islam.
“Engkau yang pertama beriman,
Engkau yang pertama percaya,
Engkau yang pertama solat bersama Rasulullah sebelum solat 5 waktu
diwajibkan”
Tidak terkira banyaknya bantuan dari Khadijah untuk suami
tercinta. Serangan orang-orang Quraisy yang tidak pernah jemu menganggu
dakwah Rasulullah. Khadijah yang menghapuskan segala kesedihan dan kegundahan
di hati Rasulullah sehingga baginda menemui ketenangan dalam diri
Khadijah. Lihat bagaimana tabahnya wanita mulia ini ketika terjadinya
pemboikotan di kawasan Syib apabila tempat itu dikepung selama 3 tahun, dugaan
dalam bentuk kelaparan dan keletihan tetap ditangani dengan sabar walau usia
beliau mencapai 60 tahun.
Wajar kiranya wanita suci ini mendapat penghargaan oleh Allah dan
seluruh umat Islam atas kehebatannya menjadi pendorong kepada Nabi
Muhammad. Wajar kiranya jika engkau menduduki tempat di dalam hati ini.
Bagaimana mungkin tidak kami letakkan engkau si penghuni syurga di dalam hati
kami sedangkan engkau telah melakukan perkara yang terbaik dalam usaha
penyebaran Islam.
PEMERGIAN KHADIJAH
Bonda para Mukmin dan isteri manusia paling agung berangkat pergi
menuju ke sisi Tuhannya. Wanita abadi yang mempersembahkan pertolongan dan
kasih sayangnya terhadap Islam. Tahun wafat Khadijah adalah tahun
yang sangat memeritkan dan menyakitkan bagi kekasih agung, kehilangan dua cinta
hati, isteri tercinta dan bapa saudara yang dikasihi Abu Talib. Khadijah
binti Khuwailid pergi setelah panji perjuangan diserahkan kepada puteri Islam
yang suci dan dihormati, Fatimah Az-Zahra.
Ya Khadijah, pergimu dianggap tahun berduka bagi Rasulullah
Tetapi Allah menetapkan pemergianmu setelah Allah meneguhkan
dakwah suamimu
Engkau wanita terbesar berangkat
Setelah berkongsi kesedihan dan kesulitan yang berat
Hilanglah segala penat yang menyinggah
Hilanglah segala sakit yang menyerang
Engkau wanita terbesar berangkat
Dengan tangis Rasulullah
Kerna engkau yang dicintainya
Beruntungnya dirimu wahai mawar agama
Rasul memilihmu kerana dirimu pilihan Allah
Engkau memberikan Rasulullah saat yang lain tidak mahu memberikan
Engkau menolong Rasulullah saat yang lain meminggirkan
Engkau membenarkan Rasulullah saat yang lain mendustainya
Engkau melimpahkan kasih sayangnya saat yang lain membencinya
Khadijah, perempuan lurus yang dipilih Allah. Kini Khadijah sudah
pergi. Malah sejak pemergiannya, ia sudah berabad lamanya. Kita tidak pernah
menemuinya, malah tidak pernah mendengar untaian bicaranya, jua
tidak pernah menatap wajah kasihnya namun kita tahu dalam sejarah Islam pernah
hadir seorang wanita pilihan Allah yang paling mulia. Dia dikuburkan di Ma’ala.
Khadijah meninggal dunia pada usia 65 tahun, tiga tahun sebelum hijrah, sebelum
peristiwa Isra Mikraj, sebelum turunnya perintah solat lima waktu, iaitu pada
11 Ramadhan, selepas Bani Hasyim bebas dari pemulauan kaum Quraisy.
Khadijah meninggal dunia setelah menunaikan tugasnya mendampingi
RAsulullah, menyokong, menyelimuti, membenar dan merperteguhkan perjuangan
Rasulullah.
Rasulullah berkata yang bermaksud “Allah tidak memberikan
pengganti untukku yang lebih baik daripada Khadijah. Dia percaya kepadaku dikala
orang lain mengingkariku, dia membenarkan di kala orang lain mendustakanku, dia
menyerahkan hartanya kepadaku dikala orang lain menghalangiku dan Allah
mengurniakan keturunan melalui rahimnya kala aku tidak dapat daripada
perempuan-perempuan lain(isteri-isteriku)
Pena ini diangkat kerna aku mengagumi dan mencintai wanita mulia
ini, dan alangkah ruginya jika hanya aku yang merasakan kecintaan ini tanpa
menyeru sahabat-sahabatku juga untuk merinduinya. Sungguh dia insan mulia
yang layak dijadikan idola untuk kita duhai muslimah kecintaan Allah. Moga
ianya bermanfaat dan Allah meredhai tulisan ini. Jika mahu ditulis riwayat
hidup, kisah pengorbanan, dan bakti perjuangannya, sudah tentu penat untuk kita
membacanya. tidak rugi untuk membaca sirah Islam. Ianya suatu ketenangan.
Untuk Dia
Yang sentiasa memberi ilham.
Terima kasih Allah.
24 Ramadhan 1433
No comments:
Post a Comment