Assalamualaikum.
Untuk sahabat kesayangan hati hamba <3
Firman Allah SWT dalam Surah
Al-Baqarah ayat 155 :
“Demi
sesungguhnya! Kami akan menguji kamu dengan sedikit perasaan takut (kepada
musuh) dan (dengan merasai) kelaparan, dan (dengan berlakunya) kekurangan dari
harta benda dan jiwa serta hasil tanaman. Dan berilah khabar gembira kepada
orang yang sabar”.
Jelas
sekali, Allah SWT telah menetapkan setiap manusia itu pasti diuji dan tidak ada
sesiapa yang dapat lari dari kenyataan hidup ini. Namun di sebalik semua ujian
ini masih ada berita gembira buat hamba hamba Allah yang terpilih, iaitu mereka
yang mampu bersabar menghadapi keperitan musibah yang menimpa. Justeru, marilah
kita hayati ayat-ayat al-Quran dan hadith Rasulullah s.a.w, agar kita sedar
betapa besar hikmah bersabar di sebalik musibah yang datang menguji kita.
Antaranya
ialah :
Pertama : Sesungguhnya sabar
menganugerahkan kesejahteraan, rahmat dan hidayah.
Allah
SWT menjelaskan kepada kita tentang ujian hidup dan tuntutan bersabar dalam
Surah Al-Baqarah ayat 157:
“Mereka
itu ialah orang yang dilimpahi dengan berbagai-bagai kebaikan dari Tuhan mereka
serta rahmat-Nya; dan mereka itulah orang yang dapat petunjuk
hidayah-Nya”.
Kedua : Sesungguhnya sabar di
atas musibah menjanjikan penghapusan dosa.
Rasulullah
s.a.w mengingatkan kita tentang hakikat ujian dan musibah yang melanda hidup
kita bahawa ia sebenarnya adalah suatu proses pembersihan dosa dosa kita yang
disusun indah oleh Allah SWT. Kita perlu
menyedari hakikat ini untuk kuat menghadapi segala musibah dengan sabar dan
redha.
Hadis
daripada Abu Hurairah RA, bahawa Rasulullah s.a.w bersabda : “Tiada seorang
mukmin yang ditimpa musibah, samada kepayahan, penyakit, kebimbangan,
kesedihan, kesakitan mahupun dukacita sehingga duri yang dipijaknya melainkan
semua itu pasti akan menjadi sebab Allah menghapuskan dosa-dosanya”. (Riwayat
Ahmad)
Ketiga : Sesungguhnya ganjaran
Pahala tanpa Hisab Inilah ganjaran hebat yang disediakan bagi orang orang yang
mampu bersabar ketika ditimpa musibah.
Firman
Allah SWT dalam Surah az-Zumar ayat 10: “Katakanlah (Wahai Muhammad, akan
firman-Ku ini, kepada orang yang berakal sempurna itu): "Wahai hamba-hamba-Ku
yang beriman! Bertaqwalah kepada Tuhan kamu. (Ingatlah) orang yang berbuat baik
di dunia ini akan beroleh kebaikan (yang sebenar di akhirat). Dan (ingatlah)
bumi Allah ini luas (untuk berhijrah sekiranya kamu ditindas). Sesungguhnya
orang yang bersabarlah sahaja Yang akan disempurnakan pahala mereka dengan
tidak terkira”.
Keempat : Sesungguhnya orang
yang sabar akan mendapat kelayakan untuk tinggal di Syurga
Kenyataan
ini dibuktikan oleh Allah SWT dalam Surah Ar-Ra’d ayat 23 - 24 :
“Iaitu syurga yang kekal, yang mereka akan memasukinya
bersama-sama orang yang mengerjakan amal soleh dari ibu bapa mereka dan
isteri-isteri mereka serta anak-anak mereka; sedang malaikat-malaikat pula akan
masuk kepada mereka dari tiap-tiap pintu, (sambil memberi hormat dengan berkata):
"Selamat sejahteralah kamu berpanjangan, disebabkan kesabaran kamu. Maka amatlah
baiknya balasan amal kamu di dunia dahulu”.
Ucapan
salam sejahtera para malaikat kepada penghuni syurga pada ayat ini jelas
menyebut tentang sebab utama yang melayakkan mereka ditempatkan di syurga,
iaitu kesabaran mereka di atas segala kepayahan hidup di dunia ini.
Imam
Muslim meriwayatkan sebuah hadis daripada Ummu Salamah RA, bahawa Rasulullah
s.a.w bersabda : “Tiada seorang hamba yang ditimpa musibah lalu dia mengucapkan
kalimah Innalillahi Wainnailaihiraji’un dan berdoa ’Ya Allah ganjarilah aku
pada musibah ini dan gantikanlah untukku sesuatu yang lebih baik darinya, melainkan
pasti Allah SWT memberikan ganjaran di atas musibah yang menimpanya dan
menggantikan dengan sesuatu yang lebih baik untuknya.”
Firman
Allah SWT dalam Surah Al-Baqarah ayat 45 : “Dan mintalah pertolongan (kepada
Allah) dengan jalan sabar dan mengerjakan sembahyang; dan sesungguhnya
sembahyang itu amatlah berat kecuali kepada orang-orang yang khusyuk”. Begitu
besar tuntutan supaya bersabar dan hikmahnya bagi kita.
Intisari
buat peringatan semua.
Pertama : Bahawa ujian dan musibah adalah rencah kehidupan,beruntunglah
mereka yang berjaya menghadapinya dengan kesabaran.
Kedua : Sesungguhnya kemampuan bersabar dalam menghadapi
musibah adalah bukti kesempurnaan iman kita dan bersyukur di atas nikmat
kurniaan Allah.
Ketiga : Sesungguhnya sabar adalah anugerah terindah
yang menjanjikan pelbagai kurniaan dan ganjaran di sisi Allah SWT khusus bagi
mereka yang berjaya menghadapinya.
Firman Allah SWT dalam Surah Al-Mulk ayat 2 : “Dialah
yang telah mentakdirkan adanya mati dan hidup (kamu) - untuk menguji dan
menzahirkan keadaan kamu; siapakah di antara kamu yang lebih baik amalnya; dan
Dia Maha Kuasa (membalas amal kamu), lagi Maha Pengampun, (bagi orang-orang
yang bertaubat)”.
Wassalam.
No comments:
Post a Comment